Kajang, 19 Disember 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menziarahi jenazah Ketua Penolong Pengarah (Pendataan/Analisa) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, Allahyarham SAC Azman Omar, pagi tadi.
Beliau bersama para jemaah yang hadir berkesempatan menziarahi jenazah di Masjid Al-Iman, Kampung Desa Putra untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Desa Putra, Kampung Sungai Merab Hulu, di sini.
Terdahulu, turut menziarahi jenazah Allahyarham SAC Azman di masjid yang sama adalah bersama Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Bahagian Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Ghazali Hj. Daud, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, DCP Dato' Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah (Operasi) JPJKK, Bukit Aman, DCP Dato' Azman Ayob dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohammad serta para pegawai kanan polis.
Allahyarham SAC Azman, 56, meninggal dunia kira-kira jam 3.55 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah Serdang.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini