Gombak, 23 Disember 2023 - Polis menumpaskan satu geng pecah rumah dan samun didalangi pelarian etnik Rohingya selepas menembak mati tiga anggota kumpulan itu dalam kejadian berbalas tembak di Taman Selayang Jaya, Selayang di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Selangor, CP Dato' Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu yang menaiki sebuah kereta jenis Ford
Fiesta dikesan di kawasan itu oleh sepasukan anggota rondaan cegah jenayah, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan mula bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah polis.
"Berikutan itu, anggota polis melepaskan tembakan balas ke arah kereta suspek dan berlaku insiden berbalas tembakan. Suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah polis.
"Polis yang melepaskan tujuh das tembakan ke arah kereta suspek berjaya menumpaskan kumpulan itu. Pemeriksaan mendapat ketiga-tiga suspek dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini, tadi.
Sumber: Polis Daerah Gombak dan Berita Harian