Kuala Lumpur, 28 Januari 2024 - Pemandu wanita yang menghalang ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini, kelmarin disahkan mengalami masalah psikiatri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (
JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan pemandu kereta berusia 41 tahun itu selepas pemandu ambulans membuat laporan polis.
“Pemandu kereta model Toyota Camry itu dibawa ke Balai Polis Trafik bagi tujuan siasatan.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan berkenaan didapati menghadapi masalah psikiatri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan,” katanya, semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.