Kuala Lumpur, 30 Januari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVI Tahun 2024 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Tan Sri Razarudin bersama isteri, Puan Sri Zainah Othman merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia berpeluang beramah mesra dengan baginda dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Majlis yang dijalankan dengan penuh istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri
Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato’ Seri Dr.
Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan PM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Timbalan PM merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Hj.
Fadillah Hj. Yusof bersama isteri, Datin Sri Hjh. Ruziah Mohd Tahir.
Seri Paduka Baginda berdua berkesempatan bersalaman dengan barisan jemaah menteri, ahli parlimen serta barisan perwakilan negara-negara asing sebelum dibawa menaiki kenderaan rasmi untuk melambai rakyat jelata yang telah sedia menunggu dengan penuh sabar di sepanjang Jalan Parlimen bagi menyaksikan pasangan diraja itu buat kali terakhir sebagai Ketua Negara.
Tertib istiadat kemudiannya diteruskan ke Kompleks Bunga Raya dengan ketibaan Seri Paduka Baginda berdua yang disambut oleh Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum melihat persembahan seni mempertahankan diri dan persembahan lambaian kasih daripada
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Keberangkatan balik Seri Paduka Baginda berdua menaiki Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jet (ACJ 320) telah diiringi oleh dua buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik
Tentera Udara Diraja Malaysia menuju ke Pangkalan Udara Kuantan dan kembali bersemayam di negeri Pahang Darul Makmur.
Mengimbau kembali pelantikan Seri Paduka Baginda sebagai YDPA ke-16 pada tanggal 31 Januari 2019 lalu, pelbagai cabaran dan onak duri ditelusuri Seri Paduka Baginda dengan penuh bijaksana dalam memacu Malaysia ke arah lebih aman dan stabil.
Selain itu, situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020 lalu merupakan tempoh yang cukup getir buat Seri Paduka Baginda. Namun, dengan ketenangan dan sifat ketokohan Seri Paduka Baginda tatkala berdepan pelbagai cabaran mentadbir urus negara amat dikagumi seluruh rakyat jelata.
Turut hadir mengiringi keberangkatan balik Seri Paduka Baginda berdua di KLIA ialah Timbalan KPN, DIG Dato’ Seri
Ayob Khan Mydin Pitchay.
Seluruh pacal Polis Diraja Malaysia merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah kurnia Seri Paduka Baginda berdua sepanjang mentadbir negara.