Cheras, 20 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi merasmikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bilangan 1/2024 di Dewan KPN,
Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur (KL) dekat Cheras, di sini.
Selepas ucapan aluan oleh Pengarah JSJ, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Tan Sri Razarudin telah menyampaikan ucapan perasmian dan amanat di
hadapan hampir 100 warga JSJ.
Dalam amanat beliau, Tan Sri Razarudin menekankan peranan barisan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) yang perlu dioptimumkan untuk menyelia, memantau serta berani menegur pegawai atau anggota bawahannya dalam melaksanakan tugas harian.
"Penggunaan walkie-talkie untuk memantau pergerakan elemen di lapangan hendaklah disegerakan.
"Saya juga telah memberi arahan untuk semua KBSJD hadir pada waktu malam di pejabat untuk bersama-sama melaksanakan pengoperasian di setiap daerah," tegas beliau.
Selain itu, Tan Sri Razarudin turut mengharapkan siri latihan dan perkongsian ilmu daripada KBSJD diperkukuhkan demi melahirkan pegawai pelapis yang mahir dalam bidang siasatan.
"Kecekapan penyeliaan yang sempurna dan perkongsian pengalaman menerusi siri latihan dan kursus secara berterusan perlu dilaksanakan.
"Saya yakin dan percaya bahawa dengan kebijaksanaan dan kelebihan sedia ada akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap Pasukan khasnya JSJ," ujar beliau lagi.
Seusai merasmikan mesyuarat tadi, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati menyaksikan penyerahan Buku Laporan Pasukan Operasi DVI Insiden Pesawat Terhempas di Lebuhraya Elmina East, Shah Alam di antara Dato' Sri Mohd Shuhaily dengan Komandan Maktab PDRM KL, DCP Datuk Abu Samah Mohd Noor.
Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Ketua-ketua Pusat Pengajian Maktab PDRM Kuala Lumpur dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad.