Menu

PROGRAM "RETREAT" PDRM BERSAMA MDN RANCANG HALA TUJU PASUKAN BAGI TEMPOH TUJUH TAHUN MENDATANG

Johor Bahru, 24 Februari 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Pengurusan menganjurkan Program "Retreat" Bersama Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selama tiga hari di Desaru, di sini.
Kehadiran Datuk Seri Saifuddin Nasution di program tersebut telah disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersama timbalannya, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim.

Program yang berlangsung bermula semalam itu bagi merancang hala tuju PDRM dalam tempoh tujuh tahun (2024-2030), selain menjajarkan dasar-dasar sedia ada di dalam Pasukan berlandaskan konsep Malaysia MADANI.
Dalam program tersebut juga, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkesempatan menyampaikan amanat kepada barisan pimpinan tertinggi Pasukan supaya menjadikan platform "retreat" itu sebagai tempat perkongsian idea dan pendapat, selain bersedia mempelajari semula sebarang perubahan bagi menjadikan Pasukan sebagai sebuah organisasi yang lebih cemerlang.

Antara pengisian program ialah sesi perbincangan kumpulan dan pembentangan daripada wakil setiap jabatan, melibatkan 27 program dan inisiatif yang diangkat sebagai perancangan dan hala tuju Pasukan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri serta pegawai kanan PDRM dan KDN.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS