Kuala Lumpur, 27 Februari 2024 - Jumlah kes rogol dalam kalangan remaja bawah umur 16 tahun yang meningkat sejak kebelakangan semakin membimbangkan, kata Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata, walaupun atas dasar persetujuan bersama, namun perbuatan yang dalam istilah undang-undang dirujuk sebagai “statutory rape” itu, tetap diklasifikasikan sebagai kes
rogol kerana membabitkan pelaku bawah umur.
"Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia, terdapat peningkatan 202 kes iaitu 11.8 peratus tahun lalu berbanding pada tahun 2022," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, paling menggusarkan ialah kebanyakan kes membabitkan golongan B40, dan menurutnya antara faktor jenayah ini berlaku adalah kurang penyeliaan ibu bapa, selain akses mudah kepada bahan lucah di Internet.
Katanya dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan mengawasi anak-anak serta perlu celik teknologi maklumat bagi mengawal penggunaan Internet untuk mengelak daripada anak-anak mereka melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya.
Perubahan landskap komunikasi tanpa sempadan dan akses yang mudah memberi kesan ketara kepada golongan kanak-kanak sehinggakan boleh mengakses bahan-bahan terlarang tanpa kawalan dan akhirnya terjerumus dalam aktiviti yang tidak bermoral.
"Jika dulu bahan lucah sukar didapati, namun kini semuanya di hujung jari saja, semua bahan ini mudah untuk akses di telefon pintar tanpa mengira usia," katanya.