Menu

TEMASYA SUKAN PIALA KPN: 69 KOMANDO, PSP (WANITA) JUARA TARIK TALI TAHUN 2024

Johor Bahru, 7 Mac 2024 - Piala Ketua Polis Negara (KPN) Tahun 2024 bagi acara tarik tali (lelaki) berjaya dirangkul oleh pasukan tarik tali 69 Komando selepas menewaskan Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Stadium Ragbi Mount Austin, dekat sini.

Sementara kategori wanita pula menyaksikan dominasi Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) setelah mengatasi tujuh pasukan yang lain, petang tadi.

Kontinjen polis Kuala Lumpur (KL) sekadar berpuas hati bergelar naib juara bagi kategori wanita dan tempat ketiga bagi acara lelaki sementara Kontinjen Perak pula ditempat ketiga (kategori wanita).

Manakala kategori "plate" untuk pasukan lelaki sahaja diungguli oleh Kontinjen Johor setelah menidakkan kemaraan pasukan dari Kontinjen Perak dan Briged Sarawak PGA yang masing-masing terpaksa akur di tempat kedua serta ketiga.

Hadir menyaksikan acara akhir kejohanan tadi ialah Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia KPN Bukit Aman selaku Pengelola Sukan Tarik Tali Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Dato' Mohammed Hasbullah Ali, Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Abdul Rani Alias dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, sebanyak 25 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 pasukan lelaki mengambil bahagian dan selebihnya adalah kategori wanita.

"Acara penyampaian piala kepada juara bagi kedua-dua acara dijangka akan disempurnakan pada majlis penutup oleh pucuk pimpinan PDRM," ujar beliau.

Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS