Menu

HARI POLIS KE-217: PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-217 TAHUN 2024

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan nikmat dan anugerah-Nya kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyambut Peringatan Hari Polis Ke-217 pada tahun ini.

Kepada seluruh warga Sang Saka Biru, marilah sama-sama kita memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan Negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara. Laksanakanlah tugas secara profesional dan terus memberikan PERKHIDMATAN BERTUNJANGKAN INTEGRITI DAN TATA KELOLA YANG BAIK (GOOD GOVERNANCE) demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dengan mengekalkan tema POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA, seluruh warga PDRM sentiasa SEDIA BERKHIDMAT untuk memikul mandat dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Demi kesejahteraan seluruh keluarga Malaysia Madani, PDRM menzahirkan kesediaan untuk mengerah segala kudrat dan keringat dalam MENDUKUNG DASAR-DASAR KERAJAAN KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT.

PDRM juga menzahirkan penghargaan tertinggi kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, pasukan-pasukan sahabat serta semua pihak yang sentiasa menyokong PDRM selama ini. Semoga hubungan baik serta jalinan kerjasama erat ini dapat terus diperkukuh ke arah mencapai satu matlamat yang sama demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, kami amat berterima kasih atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada PDRM. Jalinan akrab ahli masyarakat sebagai rakan strategik terpenting PDRM, telah membantu Pasukan dalam usaha pencegahan jenayah sekali gus membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan cintakan keamanan.

Buat seluruh warga PDRM, sesungguhnya saya berbangga dengan anda semua sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama kekuatan Pasukan. Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk pasakkan tekad dan bulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.

Didoakan setiap pengorbanan yang kita curahkan pada jalan jihad ini akan mendapat ganjaran tertinggi dari Yang Maha Esa. Semoga negara berdaulat ini sentiasa dalam rahmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan. Amin Ya Rabbal Alamin.

SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS KE-217

(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS