Menu

[HARI POLIS KE-217]: FORUM PERDANA HAL EHWAL ISLAM - "SCAMMER JERAT DALAM TALIAN"

Kuala Lumpur, 28 Mac 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Forum yang bertajuk "Scammer: Jerat Dalam Talian" telah menampilkan beberapa figura hebat sebagai ahli panel iaitu Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber & Multimedia) JSJK Bukit Aman, SAC Zaldino Zaludin, Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato' Badli Shah Alauddin dan Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud sebagai moderator.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, SAC Datin Sri Dato' Zalena Ariffin tidak melepaskan peluang bersama warga PDRM menyaksikan forum perdana tersebut.

Antara inti pati dapat disimpulkan dalam forum yang berlangsung adalah para pengguna perlu lebih berwaspada dalam melayari laman sesawang media sosial mahupun platform pelaburan yang berisiko berlakunya aktiviti penipuan. Selain itu, sekiranya seseorang itu menjadikan kaedah penipuan sebagai sumber rezeki mereka, nescaya ia akan memudaratkan hidup di dunia dan di akhirat.

Forum yang berlangsung selama satu jam itu turut dihadiri oleh Pengarah JSJK selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Ramli Mohamed Yoosuf dan isteri merangkap Pengerusi PERKEP JSJK, Datin Sri Fatimah Hj. Moyedden, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan isteri merangkap Pengerusi PERKEP JPJKK, Datin Sarihah Jusoh, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad serta rakan media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS