Menu

KPN DAN TIMBALAN KPN BERI PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA ALLAHYARHAM TUN MOHAMMED HANIF OMAR

Kuala Lumpur, 20 April 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama timbalannya, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri majlis penghormatan terakhir bekas KPN, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar di Masjid Negara Malaysia di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia , Puan Sri Zainah Othman.

Proses menyempurnakan jenazah dengan penuh penghormatan negara dilaksanakan di Masjid Negara, diikuti majlis bacaan Yasiin dan tahlil serta solat jenazah di Dewan Solat Utama yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Tuan Hj. Ehsan Mohd Hosni.

Selain ahli keluarga terdekat Allahyarham, kenamaan negara yang turut kelihatan hadir tadi ialah isteri kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas-bekas Menteri Kabinet dan pucuk pimpinan Pasukan serta barisan Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Allahyarham Tun Mohammed Hanif, 85 tahun, meninggal dunia pada jam 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang di rumahnya dekat Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk disemadikan dengan penuh adat istiadat kepolisan sambil diiringi oleh seluruh ahli keluarga dan warga PDRM.

Bendera Jalur Gemilang yang menutupi keranda Allahyarham dilipat oleh sembilan Pegawai Kanan Istiadat, sebelum ianya diberikan kepada Tan Sri Razarudin untuk diserahkan kepada anak lelaki keduanya, Kapten (Bersara) Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif sebagai simbolik penghormatan tertinggi Pasukan.

Jenazah selamat disemadikan kira-kira jam 3.30 petang tadi bersebelahan pusara anaknya, Allahyarham Ahmad Jamal Omar Mohammed Hanif yang meninggal dunia pada tahun 2013.

Terdahulu, Tan Sri Razarudin bersama Puan Sri Zainah yang diiringi Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan dan isteri, Datin Liliyana Haryanti Dato’ Mohd Harunizam sempat menziarahi jenazah di kediamannya dan menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid.

Seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Tun Mohammed Hanif Omar dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmatNya serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.

May be an image of 8 people, dais and text

May be an image of 5 people and text that says 'ለ PLRM M'

May be an image of 6 people and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 7 people, headscarf and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS