Kota Bharu, 25 April 2024 - Seorang pengurus syarikat pelancongan yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 14 April lalu didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang
dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Hafizul didakwa memiliki pistol Glock 19 Austria, Made in Turkiyë yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.
Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama.
Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.