Kuala Lumpur, 8 Mei 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay petang tadi meluangkan masa melawat reruai Pameran
Defence Services Asia (DSA) 2024 dan National Security (NATSEC) Asia 2024, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Yang turut mengiringi lawatan, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad dan Ketua Urus Setia KPN
(Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman, SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy.
Sepanjang lawatan, Dato’ Sri Ayob Khan berbesar hati menyaksikan ruang pameran terbesar yang mempromosikan pelbagai teknologi sistem elektronik, simulator, senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, peluru berpandu, kenderaan berperisai serta pelbagai lagi aset canggih.
Dato' Sri Ayob Khan turut berpeluang menguji dan merasai sendiri setiap satu peralatan yang dipamerkan.
Antara ruangan pameran yang dilawati beliau tadi ialah pastinya daripada Polis Diraja Malaysia sendiri,
Kementerian Dalam Negeri, Westar Aviation Services, Sapura, Augmented Knowledge, Mind Matics, System Consultancy Services Sdn. Bhd. dan Galaxy Aerospace Airworthiness Expert.
Dalam sesi lawatan tadi juga, Dato' Sri Ayob Khan berpeluang mengadap Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di salah sebuah reruai di MITEC yang kebetulan bercemar duli membuat lawatan di situ.