Kuala Lumpur, 28 Mei 2024 - Rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah kerugian dialami warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 lalu mencecah RM552.5 juta.
Jumlah itu membabitkan 5,533 mangsa atau 6.4 peratus daripada keseluruhan 86,266 individu yang direkod menjadi mangsa penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan jumlah kerugian RM2.7 bilion.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah, namun nilai kerugian dialami mereka amat tinggi.
Katanya, aliran yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini yang mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa atau 8.3 peratus adalah warga emas.
“Daripada tempoh 2021 hingga 2023, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.7 bilion, dan daripada jumlah ini, kerugian yang dicatatkan membabitkan mangsa warga emas adalah RM552.5 juta atau 20 peratus.
“Begitu juga bagi tahun ini sehingga 19 Mei lalu, kerugian dicatatkan membabitkan mangsa warga emas sudah mencecah RM130.4 juta atau 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471.5 juta.
“Lebih membimbangkan dalam tempoh ini, warga emas mencatatkan jumlah kerugian tertinggi berbanding lain-lain kategori umur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, semalam.