Johor Bahru, 1 Jun 2024 - Polis menahan 14 individu termasuk seorang ketua sindiket dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM11.6 juta, dalam tujuh serbuan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri, Rabu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Khaw Kok Chin berkata dua lelaki tempatan, enam lelaki warga asing dan enam perempuan warga asing berumur lingkungan 22 dan 52 tahun itu, ditahan antara pukul 3.40 petang dan 8.30 malam.
“Dalam operasi ini, JSJN Kontinjen Johor berjaya membongkar tempat memproses dan pembungkusan dadah serta merampas pelbagai dadah iaitu Serbuk dan Pil Ekstasi, Syabu, Ketamin, Pil Erimin 5, "Methylenedioxymethamphetamine" serta bahan-bahan kimia untuk memproses dadah itu.
“Anggaran berat bagi kesemua dadah yang dirampas ialah 198.54 kilogram dan dadah tersebut boleh digunakan seramai 1.24 juta penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan antara taktik sindiket terbabit ialah membungkus dadah dalam bungkusan jus minuman selain mencetak dadah seperti ubat-ubatan termasuk ubat tahan sakit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.