Pemain apit kanan skuad sepak takraw Malaysia, Muhammad Shahalril Aiman Halim kini menjadi nama baharu yang meniti bibir para peminat sukan sepak takraw menerusi rejaman-rejaman derasnya sepanjang saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa minggu lalu.
Biarpun masih di belakang Azlan Alias selaku perejam utama, rata-rata peminat sepak takraw melihat Muhammad
Shahalril Aiman sebagai bintang masa depan di posisi berkenaan dan mampu menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama Malaysia dalam sukan berkenaan pada masa hadapan.
Di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024, aksi Muhammad Shahalril Aiman berjaya membantu Malaysia menjuarai acara regu bersama Azlan, Syahir Rosdi dan Farhan Adam selepas menumbangkan Thailand di pentas akhir selain muncul naib juara acara berpasukan di kejohanan berprestij itu.
Muhammad Shahalril Aiman yang merupakan seorang anggota polis berpangkat Konstabel mengakui, dia mempunyai minat yang sangat mendalam dalam sukan sepak takraw dan mula mempelajari kaedah bermain sukan tradisi itu sejak berada di bangku sekolah lagi bersama kembarnya, Shahalril Aimin.
“Saya bermain sepak takraw sejak sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang dan ia berterusan di Sekolah Menengah Syed Alwi di bawah bimbingan ‘Cikgu Rashid'. Di bawah bimbingan Cikgu Rashid juga lah saya mula serius dalam sukan ini, beliau mengasah bakat saya secara serius.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.