Kuala Lumpur, 8 Jun 2024 - Tidak sampai setengah tahun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merekodkan 67 kes penggodaman telefon pintar bagi tujuan mencuri data melalui fail APK yang membabitkan kerugian lebih RM1.1 juta.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia jumlah kertas siasatan yang dibuka pihaknya bermula dari Januari sehingga Mei lalu.
“Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri lain.
“Bukan hanya menghantar fail APK melalui mesej jemputan perkahwinan, sindiket turut menggunakan taktik tawaran pekerjaan, ejen pembersihan dan pembantu rumah, jual beli kenderaan serta jual beli barang kemas,” katanya ketika dihubungi.
Pada tahun lalu, Dato' Sri Ramli berkata, JSJK merekodkan 676 kes membabitkan kerugian lebih RM18.6 juta.
Kata beliau, kes tertinggi yang dilaporkan pada tahun itu adalah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.