Kuala Lumpur, 13 Jun 2024 - Polis telah menggunakan segala peruntukan di bawah bidang kuasanya dalam menyiasat kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin termasuk menyekat komunikasi antara kedua ibu bapanya dengan peguam ketika direman.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis diberikan hak untuk menolak
pemohonan peguam untuk berjumpa pasangan berkenaan mengikut Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau berkata, Bahagian 5 Kuasa Istimewa Penyiasat pada seksyen berkenaan memberi kuasa kepada pihak polis untuk berbuat demikian semasa siasatan dijalankan.
"Polis tidak mempunyai sebarang niat tidak baik semasa menguatkuasakan peruntukan berkenaan kerana fokus polis hanya untuk menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan semua peruntukan disediakan," katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dato’ Sri Mohd Shuhaily berkata, tujuan polis membawa ibu Zayn Rayyan, Puan Ismanira Abdul Manaf ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 juga adalah bertujuan untuk memastikan semua keterangan dan pendedahan yang diperolehi semasa siasatan boleh diguna pakai di mahkamah ketika perbicaraan.
Beliau berkata, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan telah bertungkus lumus menyiasat dan memeriksa semua keterangan, rakaman kamera litar tertutup, laporan patologi dan bedah siasat yang diperoleh dalam menyelesaikan kes berkenaan.
"Segala butiran dan keterangan dalam kes ini adalah penting dan pegawai penyiasat saya telah melakukan yang sehabis baik dalam menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka," katanya.
Dato’ Sri Mohd Shuhaily berkata, pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikenakan terhadap pasangan itu hari ini merupakan antara tuduhan pilihan yang dikemukakan oleh Bahagian D5 (Pendakwaan dan Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kepada pihak pendakwa raya selain mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Selepas perbincangan mendalam dijalankan antara pasukan polis dan Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan memutuskan tuduhan mengikut Akta Kanak-Kanak cukup memadai pada ketika ini," katanya.
Beliau berkata polis telah menggunakan segala kepakaran, tenaga kerja dan maklumat yang ada untuk merungkai kes berkenaan walaupun sesetengah pihak mungkin beranggapan tuduhan yang dikenakan sebagai ‘anti klimaks’.
"Sehubungan itu siasatan oleh pihak polis telah tamat di sini dan semua kini di tangan pihak pendakwa raya, bagaimanapun siasatan lanjut boleh dijalankan sekiranya terdapat permintaan daripada pihak pendakwaan," katanya.
Dato’ Sri Mohd Shuhaily turut memohon orang ramai untuk tidak lagi membuat spekulasi berhubung kes berkenaan dan membenarkan proses perbicaraan dijalankan dengan lancar bagi memberikan keadilan kepada arwah.
"Kes ini amat sensitif kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak istimewa dan tertuduh pula ibu dan bapanya, saya berharap masyarakat di luar sana berhenti membuat spekulasi mengenai kes ini agar keadilan kepada mangsa dapat dilaksanakan," katanya.