Kuala Lumpur, 14 Jun 2024 - Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penyebaran maklumat yang tidak dapat
dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.
"Saya ingin katakan sekali lagi segala perkara yang membabitkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.
"Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.
"Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah adik Zayn Rayyan itu sendiri," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.