Serdang, 19 Jun 2024 - Polis merampas dadah jenis Syabu dan Ketamin bernilai RM13.5 juta selepas menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Khaw Kok Chin berkata, serbuan jam 12.50 tengah hari Isnin lalu itu membabitkan kerjasama antara pasukan khas JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Kelantan.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun turut ditahan dipercayai terbabit aktiviti menyimpan dan membungkus dadah di rumah itu sejak awal tahun ini.
"Jumlah dadah dirampas di rumah yang disewa itu adalah sebanyak 71 bungkusan plastik bertulisan 'TIE GUAN YIN' mengandungi 73.50 kilogram (kg) Ketamin dan 300 bungkusan plastik bertulisan 'GUANYINWANG' mengandungi 308.691 kg Syabu.
"Hasil siasatan polis juga mendapati, suspek menggunakan kereta yang diubah suai but dengan anggaran kapasiti sehingga 80 kg dapat dimuatkan bagi menyembunyikan dadah supaya tidak dapat dihidu pihak berkuasa.
"Ruang itu berada di belakang tempat duduk belakang kereta terbabit dan hanya boleh dibuka menggunakan kad akses bagi membuka bahagian yang diubah suai itu selepas enjin dihidupkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.
Dato' Khaw berkata, suspek akan menggunakan kereta yang diubah suai itu untuk membuat penghantaran dadah di pasaran sekitar Lembah Klang dengan upah RM6,000 bagi setiap penghantaran.
"Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya juga negatif.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bharian.com.my/.../polis-rampas-syabu-ketamin...
Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan Berita Harian Online






















