Menu

KOPERASI PDRM BERHAD CATAT UNTUNG RM45 JUTA, DIIKTIRAF KOPERASI PREMIER TAHUN 2023

Kuala Lumpur, 25 Jun 2024 - Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad (KPDRM) berjaya mencatatkan keuntungan sebelum peruntukan berkanun, zakat dan cukai berjumlah RM45 juta bagi tahun 2023, berbanding RM42.6 juta di tahun sebelumnya, selain diiktiraf sebagai Koperasi Premier 2023.

Pengumuman itu disampaikan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-89 KPDRM yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, di sini, tengahari tadi.

Beliau selaku Yang Dipertua KPDRM juga mengumumkan pulangan dividen 5.5 peratus atas modal yuran dan 7.0 peratus atas modal saham, membabitkan pembayaran sebanyak RM32 juta yang akan mula dikreditkan ke dalam akaun pencarum bermula esok.

“Pemberian dividen ini mempamerkan peningkatan 0.5 peratus bagi modal yuran dan satu peratus bagi modal syer berbanding tahun 2022”, ujar beliau.

Tan Sri Razarudin turut menzahirkan rasa bangga beliau kepada KPDRM atas keupayaannya kekal menjadi sebuah entiti yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi memelihara kebajikan para anggotanya.

“Berdepan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu dan kian mencabar, KPDRM masih berupaya mencatatkan prestasi yang membanggakan.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga KPDRM yang terus komited menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan," katanya.

Dalam majlis perasmian tadi, Tan Sri Razarudin turut mengumumkan pengekalan jawatan Dato’ Hj. Hasanuddin Hassan dan Dato’ Hj. Abdul Basir Ahmad selaku Pengerusi dan Setiausaha Lembaga KPDRM sehingga September depan, selain pelantikan Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim bersama Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, SAC Mohd Mahidisham Ishak sebagai timbalan pengerusi serta bendahari bagi penggal ini.

Turut berlangsung tadi ialah penyampaian anugerah anggota kepada lima kategori yang dipilih iaitu modal yuran paling tinggi, anggota paling setia kepada yang masih berkhidmat dan telah bersara, ahli jawatankuasa paling komited serta daerah paling aktif.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato' Sri Azri Ahmad, barisan ketua polis negeri, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Encik Mohd Fadzli Mat Lahim dan ahli-ahli KPDRM.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

May be an image of 14 people, dais and text

May be an image of 3 people, dais, newsroom and text

May be an image of 15 people and text

May be an image of 11 people, dais and text

May be an image of crowd and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 11 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS