Petaling Jaya, 9 Julai 2024 - Polis mengesahkan lelaki yang tular memakai baju T tertera logo Polis bukan seorang anggota penjawat awam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di aplikasi Facebook dimuat naik pemilik akaun Philip Ong bertajuk ''My Kids Will Never Respect The Police'' pada Ahad jam 10 malam.
Beliau berkata, hantaran itu memaparkan dua gambar dan satu video berdurasi 13 saat menunjukkan seorang lelaki memakai baju T tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa meletakkan kenderaan di kawasan larangan.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku di Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana berhadapan bangunan Empire.
“Insiden ini berlaku jam 8.30 pagi pada Rabu ketika pemandu kereta jenis Volkswagen Polo yang juga memakai baju T logo PDRM menurunkan isterinya yang bekerja di bangunan Empire dan dimarahi seorang pengguna jalan raya.
“Seorang pemandu memarahi lelaki terbabit kerana menurunkan penumpang di garisan yang tidak boleh berhenti.
"Hasil siasatan awal, lelaki ini bukanlah seorang pegawai polis dan baju dipakai diperoleh ketika mengikuti acara Fun Ride anjuran PDRM di Shah Alam, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.