Menu

SEDEKAD USIA PENUBUHAN JIPS PENERAJU PEMBUDAYAAN INTEGRITI PASUKAN - KPN

Kuala Lumpur, 14 Ogos 2024 - Genap sedekad usia penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 25 Julai lalu, menyaksikan entiti penguatkuasaan etika itu kekal sebagai peneraju utama dalam pembudayaan dan pengukuhan integriti melibatkan warga Pasukan.

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain melalui arahan sebelum ini, menegaskan pelaksanaan “total enforcement” ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang telah dikeluarkan pada 26 Ogos lalu, melalui Arahan KPN No.191 perlu dikuatkuasakan dengan lebih efektif melibatkan peranan pegawai penyelia melaksanakan “close monitoring” secara berterusan.

Berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KPN Bagi Bulan Ogos 2024 tadi, Tan Sri Razarudin mengingatkan warga JIPS agar dapat memikul tanggungjawab berganda dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan selain mempunyai keteguhan integriti untuk mencegah diri dari penyelewengan serta berlaku tegas, adil dan telus dalam setiap tindakan yang diambil.

"Peranan JIPS sebagai "focal point" yang bertanggungjawab kepada pengurusan isu-isu integriti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIPS perlu lebih proaktif mencari penyelesaian terbaik bagi mencegah pelanggaran etika oleh warga PDRM sebelum ia menjadi barah dalam pasukan. Pengesanan awal salah laku membolehkan tindakan korektif diambil berbanding terus melaksanakan tindakan punitif," tambahnya lagi ketika berucap di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini.

Menurut Tan Sri Razarudin juga, selaras dengan komitmen Kerajaan dalam membanteras rasuah, beliau telah menetapkan dua strategi pembanterasan rasuah untuk diimplimentasikan dalam kalangan warga PDRM, iaitu Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Frontliner PDRM dan Pemerkasaan Siasatan Polis.

Ujarnya lagi, perkongsian hasil dapatan program Naziran Suruhajaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi tempoh Mac hingga Jun 2024 yang telah membangkitkan dua kategori isu, iaitu melibatkan isu pengurusan dan isu kebajikan warga Pasukan. Justeru, beliau berhasrat agar dapatan naziran tersebut dapat diambil untuk memperbaiki kualiti fasiliti dan meningkatkan motivasi warga Pasukan.

Dalam perhimpunan tadi juga menyaksikan Tan Sri Razarudin berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 30 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan peringkat Bukit Aman sebagai menghargai mereka yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan pada perhimpunan kali ini.

Turut diadakan, acara penyampaian khas Sijil Penarafan Lima Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia bagi pencapaian tahun 2023 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada tiga bakal pesara polis dari JIPS.

Antara penerimanya ialah Timbalan Pengarah JIPS (Pematuhan Standard) Bukit Aman, DCP Ibrahim Saad yang bakal bersara pada 15 Ogos 2024, Ketua Penolong Pengarah JIPS (Bahagian Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, SAC Hj. Md Khair Hj. Othman (18 Ogos 2024) dan Ketua Penolong Pengarah JIPS (Pengurusan Aduan) Bukit Aman, SAC Mazlan Paijan (30 Ogos 2024).

Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah JIPS selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Sri Azri Ahmad dan barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.

May be an image of 6 people and text

May be an image of 6 people and text

May be an image of 9 people and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 5 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS