Menu

MESYUARAT 15TH JPCC MALINDO 2024 PERKASAKAN JALINAN KERJASAMA PDRM-POLRI

Bentong, 15 Ogos 2024 – Kerjasama serantau dalam memperkasakan bidang pengoperasian dan latihan diteruskan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) menerusi Mesyuarat 15th Joint Police Cooperation Committee (JPCC) Malaysia-Indonesia (MALINDO) 2024 yang diadakan di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, di sini.

Mesyuarat yang dilaksanakan merupakan kesinambungan JPCC ke-14 yang telah diadakan pada tahun lalu di Jakarta yang sekali gus menjadikan PDRM sebagai tuan rumah pada kali ini.

Sesi perbincangan terbabit melibatkan seramai 76 peserta daripada kedua-dua buah negara masing-masing dari bahagian pengurusan latihan dan operasi kepolisan.

Tirai perbincangan pasukan keselamatan bagi kedua-dua negara dimulakan dengan tiga siri mesyuarat membabitkan Tim Perancang Operasi Kepolisan (TPOK), Tim Perancang Latihan Kepolisan (TPLK) dan Program Pertukaran Personel (PPP). Antara agenda utama mesyuarat yang berlangsung pada 13 Ogos lalu adalah menyentuh laporan kemajuan bersama, pembentangan perancangan aktiviti bagi tahun 2025 serta sesi menandatangani minit mesyuarat.

Kemuncak kepada medan perbincangan diteruskan dengan mesyuarat JPCC ke-15 yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, merangkap Ketua JPCC PDRM, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi bersama Brigjen Pol Karokerma KL Sops POLRI, Brigadier Jenderal Polisi Laksana S.E Ka di sini, semalam.

Berucap dalam mesyuarat yang diadakan, Dato’ Mohamad Suzrin berkata, PDRM dan POLRI menggalas tanggungjawab yang berat bagi memastikan isu keselamatan negara sentiasa diberi perhatian dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan rantau ini terus berkekalan.

''Besar harapan saya agar pertemuan pada kali ini menjadi medan untuk kita bertukar-tukar pendapat serta mencari idea-idea baharu yang lebih bernas, dalam mempersiapkan serta memperkuatkan barisan pertahanan negara masing-masing dalam usaha kita untuk mengekalkan rantau ini sebagai zon selamat dan aman,'' ujarnya.

Bersempena mesyuarat yang diadakan, turut berlangsung acara 15th JPCC Shootfest PDRM-POLRI 2024 yang diadakan di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras, petang tadi. Antara acara yang dipertandingkan adalah "centre fire" dan "falling plate". Bagi kategori "centre fire" telah dimenangi oleh AKBP Wayan Wayracana Aryawan, S.I.K., Kasiops Paspegana Korbrimob POLRI manakala acara "falling plate" dijuarai oleh kumpulan kedua, diketuai oleh Dato’ Mohamad Suzrin. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dato’ Mohamad Suzrin kepada para pemenang yang bertanding.

Pada sebelah malamnya pula, telah diadakan majlis makan malam bagi meraikan kejayaan kedua-dua pihak dalam mencari kesepakatan dan persefahaman pada mesyuarat yang diadakaan dan sebagai penutup tirai penganjuran program kali ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari, Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Noor Hisham Nordin dan Brigjen Pol Karojianstra Sops POLRI, Brigadier Jenderal Polisi Marsudianto S.E Ka.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

Mungkin imej 13 orang, dais dan teks

Mungkin imej 2 orang dan teks

Mungkin imej 4 orang, dais dan teks

Mungkin imej 3 orang dan teks

Mungkin imej 9 orang, dais dan teks

Mungkin imej 3 orang, dais dan teks
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS