Menu

[ARTIKEL PILIHAN] ISU 3R: POLIS PANGGIL TAN SRI MUHYIDDIN BERI KETERANGAN SELASA INI - KPN

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2024 - Polis akan memanggil Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan pada Selasa ini berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini pihaknya sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

"Kita memanggil beliau untuk tampil beri keterangan pada 20 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Sumber: BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS