Cheras, 12 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN) ke-4, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar merupakan seorang legenda Sang Saka Biru dalam sejarah kepolisan Malaysia yang dikenang sepanjang zaman. Beliau mencatat sejarah tersendiri apabila dilantik untuk menerajui tampuk pimpinan Pasukan seawal usia 35 tahun dan menjadi tokoh pemodenan serta penstrukturan organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
pada era kepimpinannya.
Bagi mengenang jasa Allahyarham kepada Pasukan dan negara, majlis "A Tribute To Tun Hanif Omar" telah diadakan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah,
Maktab PDRM Kuala Lumpur, pagi tadi.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim mewakili KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain telah dihadiri oleh balu Allahyarham, Toh Puan Hamidah Abd Hamid dan barisan pesara PDRM yang bersama berjuang dengan Tun Mohammed Hanif semasa era kepimpinannya.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato' Sri Azmi menzahirkan penghargaan ke atas Allahyarham Tun Mohammed Hanif yang merupakan "the one and only" Pegawai Kanan PDRM paling muda dan lama menerajui Pasukan Sang Saka Biru sebagai seorang KPN.
"Beliau juga telah mencetuskan ilham penjenamaan semula Pusat Pentadbiran PDRM yang mana dahulu dikenali sebagai Bluff Road kepada Bukit Aman pada 25 Mac 1978. Walaupun sebagai sebuah bangunan dengan ‘Core business’ polis bersifat regimanted, namun dengan pertukaran nama berkenaan, ia telah membawa satu dimensi baharu yang menggambarkan fungsi dan peranannya adalah berkhidmat kepada masyarakat." ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan tayangan khas video dokumentari mengisahkan perjalanan karier legenda Sang Saka Biru sambil diiringi bait-bait sajak yang disampaikan oleh pendeklamasi, Timbalan Ketua Polis
Balai Tampoi, Sub Inspektor Yusuf Ramji bertajuk Noktah Perjuangan sebelum alunan tiupan bugler dari Pancaragam Pusat PDRM yang diketuai oleh Inspektor Muhammad Farhan Mohamad Safiruddin sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Tun Mohammed Hanif dan para pejuang PDRM yang terdahulu.
Mengenang kembali sejarah Allahyarham dalam Sang Saka Biru, antara penglibatan dan sumbangan beliau kepada negara dalam mengekalkan ketenteraman awam sentiasa terpelihara ialah Perjanjian Damai Thailand - Malaysia bersama Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989, penubuhan MALPHILINDO pada 1963 dan dilantik menjadi Ketua Pegawai Turus (Polis), Majlis Gerakan Negara pada 1969 serta operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada 1975.
Antara idea dan inovasi serta penstrukturan semula yang diperkenalkan oleh Allahyarham demi masa depan Pasukan pada ketika itu adalah penubuhan Unit Tindakhas,
Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan
Polis Hutan dalam kalangan anggota wanita, Unit
Udara, Cawangan Tatatertib, Cawangan Kerjaya Polis, Cawangan Anti Dadah, Cawangan Pemusnah Bom, Cawangan Perhubungan Awam, Cawangan Konstabel Masyarakat, Cawangan Logistik, Unit Risikan Jenayah, Cawangan Pencegahan Jenayah, menaik taraf Sekolah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ke Maktab JSJ, Pusat Latihan Polis, Cawangan Komputer, Sekretariat Sukan, Cawangan Jenayah Perdagangan, Unit Siasatan Kekerasan Seksual dan Makmal Mini Forensik serta Kelab Golf PDRM Titiwangsa.
Turut hadir dalam majlis diadakan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan),
Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis (KP)
Selangor, CP Dato' Hussien Omar Khan, KP Kuala Lumpur (
KL), CP Dato' Rusdi Mohd Isa, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar dan para Pegawai Kanan PDRM serta rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.




