Menu

KPN BERSAMA KEPIMPINAN TERTINGGI PDRM MERIAHKAN ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

 
Putrajaya, 14 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2024 bertempat di Dataran Pahlawan, di sini.

Berangkat mencemar duli ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Baginda berdua pada jam 8.30 pagi disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr. Wan Ismail dengan diiringi Timbalan PM merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman.

Dalam majlis tadi, tetamu jemputan diberi penghormatan menyaksikan Panji-Panji Diraja yang pernah dianugerahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen dan Kor dari ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia dibawa masuk ke dataran kawad.

Panji-Panji tersebut merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi ATM menyampaikan sembah ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Turut dipersembahkan tadi adalah acara perbarisan yang terdiri daripada 25 pegawai dan 503 anggota ATM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion ke-21, Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Acara kemudian diteruskan dengan tembakan kehormatan 21 das yang disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Hafizan Mat Ghani sebelum disusuli dengan formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter yang membawa lima bendera termasuk Jalur Gemilang.

Istiadat itu merupakan majlis terakhir daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lepas hingga hari ini sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun lepas.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, para pegawai kanan PDRM serta rakan-rakan media.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin

May be an image of 4 people

May be an image of 3 people

May be an image of 4 people and text

May be an image of 5 people, dais and text

May be an image of 6 people and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS