Kuala Lumpur, 14 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain malam tadi bersama-sama dengan ribuan rakyat Malaysia menghadiri Himpunan 24K Huffaz Malaysia yang berlangsung dekat
Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Himpunan bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri
Anwar Ibrahim yang bertujuan memartabatkan
al-Quran dalam kalangan masyarakat selain mencipta platform yang mampu mengukuhkan silaturahim antara para huffaz di seluruh negara.
Terdahulu, ribuan yang hadir malam tadi telah menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Kanan, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Al-Fadhil Ustaz Dr. Khalid Isa sebelum disusuli dengan ucapan perasmian oleh Dato’ Seri Anwar.
Sejurus selesai, majlis diteruskan dengan pelancaran Waqaf Al-Quran Mushaf Huffaz dengan simbolik pengagihan penyerahan sebanyak 24,000 naskhah mushaf oleh Timbalan PM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi kepada Presiden PINTA, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zahid Mahmood.
Dalam majlis tersebut juga, Tan Sri Razarudin berbesar hati mengiringi Dato’ Seri Anwar bersama Dato’ Seri Dr. Ahmad menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang merangkap Pengarah Urusan
Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan guru Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Pahang, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zawawi Ibrahim yang masing-masing diumumkan sebagai Anugerah Kecemerlangan Institusi Tahfiz Dalam Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023.
Hadir sama, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar, Ketua-ketua agensi Persekutuan dan swasta serta rakan-rakan media.