KERATAN AKHBAR PILIHAN: SIASATAN SECARA BERFASA IKUT PERUNTUKAN SEDIA ADA - KPN
Kuala Lumpur, 24 September 2024 - Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISB Holdings (GISBH) akan diteruskan secara berfasa menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada termasuk kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan siasatan berkait kes itu dijalankan secara
berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.
“Ada dua tiga perkara yang perlu dijelaskan dalam perkara ini. Bagi pihak PDRM, kita akan menyiasat di bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia dan akta-akta lain.
“Manakala untuk akidah, pihak
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang akan uruskan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia akan menentukan adakah ini akidah yang betul.
“Mengenai tindakan mengikut SOSMA, kita ke arah itu,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini semalam.
Selain itu Tan Sri Razarudin berkata, PDRM menerusi Op Global Fasa 4 bermula kelmarin, menyerbu 280 premis di Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH.
“Melalui Fasa 4 Op Global, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita berusia antara 18 hingga 65 tahun dan ke atas telah ditangkap, manakala seramai 187 mangsa berumur 18 tahun ke bawah berjaya diselamatkan,” katanya.