Menu

KPN DIKURNIA DARJAH KEBESARAN SEMPENA HARI KEPUTERAAN SULTAN KELANTAN

Kota Bharu, 29 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini dikurniakan darjah kebesaran dalam Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V Yang Ke-55 Tahun 2024.

Tan Sri Razarudin dikurnia Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (S.P.J.K.) Al-Petrawi I yang membawa gelaran “Dato’” dalam istiadat yang berlangsung dekat Istana Balai Besar, di sini.

Berangkat bercemar duli menyempurnakan istiadat tadi ialah Sultan Kelantan, KDYMM Sultan Muhammad V.

Yang turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Sultanah Kelantan, Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah dengan diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman dan dif-dif kenamaan daripada Kerajaan Persekutuan serta Negeri.

Manakala bekas Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun juga tidak ketinggalan dikurniakan darjah kebesaran yang sama dalam istiadat pagi tadi bagi menghargai khidmat dan jasa bakti yang beliau curahkan sepanjang menjadi orang nombor satu dalam Polis Kontinjen Kelantan sejak September 2022.

Terdahulu pada sebelah petang semalam, Tan Sri Razarudin bersama isteri, Puan Sri Datuk Zainah turut dijemput menghadiri Majlis Santapan Malam Persembahan Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Kompleks Kota DarulNaim.

Majlis gilang-gemilang bagi memuliakan hari keputeraan Sultan Kelantan itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan selain jamuan keraian negeri.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Hj. Daud bersama isteri, Datin Panglima Perang Hjh. Wan Norhanita Wan Yaakob, Orang-orang Besar Bergelar Kerajaan Negeri Kelantan bersama isteri, bekas KPN, Tan Sri Musa Tan Sri Hj. Hassan bersama isteri, Puan Sri Qistina Lim serta Pemangku Ketua Polis Kelantan, DCP Mohd Ali Tamby bersama isteri, Puan Norainon Hj. Ramli.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini

May be an image of 5 people, dais, wedding and text

May be an image of 4 people and text

May be an image of 9 people and text

May be an image of 2 people, dais, wedding and text

May be an image of 11 people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS