Menu

PDRM BERBESAR HATI TERIMA LAWATAN KERJA BADAN KEHAKIMAN MALAYSIA KE MAKMAL FORENSIK

Cheras, 7 Oktober 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini amat berbesar hati apabila buat julung kalinya menerima lawatan kerja daripada Badan Kehakiman Malaysia ke Makmal Forensik Pasukan yang terletak di Maktab PDRM Kuala Lumpur (KL), di sini.

Ibarat kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Lawatan ulung seumpama itu yang diketuai sendiri oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli serta barisan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Malaysia menjadi titik tolak untuk percambahan pandangan bagi memperkasakan sistem keadilan dalam negara.

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dalam ucapan aluannya tadi menyifatkan lawatan Badan Kehakiman Malaysia sebagai satu acara penting dalam mencerminkan persefahaman antara pihak polis dengan badan perundangan dan sebagai satu komitmen tinggi untuk memperkukuhkan sistem keadilan di Malaysia.

Makmal Forensik PDRM yang mula beroperasi sejak tahun 2001 dipilih kerana ia merupakan tunjang belakang Pasukan khususnya dalam penyelesaian kes-kes jenayah yang berlaku dalam negara.

Di makmal tersebutlah terletaknya pelbagai elemen berteknologi tinggi dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk membuat siasatan bermula dari tempat kejadian, semakan barang kes berupa audio, video, cakera optik, cap jari, perakaunan, malah bahan narkotik serta balistik yang digunakan dalam sesuatu kes sehingga dapat mengheret si pelaku ke muka pengadilan.

Sehingga kini, Makmal Forensik PDRM telah diktiraf bukan sahaja di dalam negara, malah di persada antarabangsa sehingga membolehkan ia diberi pengiktirafan di bawah MS ISO/IEC 17025:2017 dan ISMS 27001.

Menurut Tan Sri Razarudin lagi, gerak kerja pihak polis dan badan kehakiman merupakan kunci kejayaan dalam mengintegritikan penguatkuasaan undang-undang serta memberi keadilan kepada masyarakat.

“Besarlah harapan saya, sesi lawatan kerja ini dapat memberi pemahaman secara menyeluruh tentang pengoperasian siasatan dan analisis bahan bukti oleh PDRM bagi menghasilkan laporan analisis pakar serta mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dicabar dan dipertikaikan di mahkamah,” ujar beliau.

Hadir sama meraikan delegasi Badan Kehakiman Malaysia tadi ialah Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah JSJ, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Polis KL, CP Dato' Rusdi Mohd Isa.

Yang turut hadir, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Komandan Maktab PDRM KL, DCP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar dan Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini, Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri

May be an image of 1 person, dais and text

No photo description available.

May be an image of 8 people and text

May be an image of 2 people, dais and text

May be an image of 9 people and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 13 people and text

May be an image of 1 person, dais and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS