Selayang, 24 Oktober 2024 - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Selain Nasiruddin, 65, turut didakwa isterinya, Datin Azura Md Yusof, 57, dan seorang anak bekas pengasas
Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi Asa''ari, 32.
Pengikut lain yang didakwa adalah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdalu-Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Pengikut wanita lain yang didakwa adalah Hamimah Yakub, 72, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, dan Siti Salmiah Ismail, 57.
Bagaimanapun, semua tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita itu kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di sebuah premis di Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Kesalahan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.