Kuala Lumpur, 26 Oktober 2024 - Tenaga Nasional Berhad (
TNB) mencatatkan kerugian berjumlah lebih RM441.6 juta angkara kecurian elektrik bagi tujuan aktiviti perlombongan mata wang digital bitcoin sejak tahun 2020 hingga September lalu.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, maklumat itu diperoleh hasil operasi bersama dijalankan pasukan JSJ
dengan TNB dalam tempoh berkenaan.
Dato' Sri Mohd Shuhaily berkata, 2,091 serbuan berjaya dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2020 hingga September 2024 dengan 54 operasi pada 2020, 2021 (529 operasi), 2022 (692), 2023 (358) dan 2024 (458).
“Daripada tahun 2020, hasil serbuan yang kita buat terhadap mesin-mesin perlombongan bitcoin yang sudah kita rampas, anggaran kerugian adalah RM5,922,976 dan tahun 2021 sebanyak RM140,454,624.
“Pada 2022, sebanyak RM124,963,423, (manakala) tahun lalu RM67,166,744 dan tahun ini sehingga bulan September dah cecah RM103,092,322.90,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kunjungan Hormat dan Serahan Sumbangan Pacuan Empat Roda oleh TNB di Bukit Aman di sini, kelmarin.