Kuala Lumpur, 15 November 2024 -
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa memperhebatkan usaha mereka dalam memerangi pelbagai kes jenayah komersil yang kini semakin kompleks termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah modus operandi penjenayah.
Perkara tersebut dinyatakan Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dalam Perhimpunan Bulanan bagi bulan November 2024
anjuran JSJK di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Beliau turut menyatakan bahawa pada tahun ini, JSJK telah berjaya mencapai kejayaan dalam mengatur strategi memerangi, membanteras dan mengambil tindakan terhadap kes-kes jenayah komersil, juga jenayah rentas sempadan.
"Bagi tahun 2024, saya difahamkan bahawa statistik kes kesalahan jenayah komersil yang dilaporkan dari bulan Januari sehingga September adalah sebanyak 29,010 kes, berbanding 30,422 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama pada tahun 2023.
“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.6 peratus atau bersamaan 1,412 kes. Manakala, jumlah kerugian yang direkodkan dari Januari sehingga September 2024, adalah sebanyak RM1.98 bilion, di mana menyaksikan peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
"Dalam aspek tindakan pembanterasan, bagi tempoh Januari hingga September 2024, jabatan ini telah melaksanakan sejumlah 17,661 operasi dan serbuan yang secara keseluruhannya telah berjaya menahan 18,506 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersil.
“Manakala daripada aspek siasatan bagi tempoh sembilan bulan tahun 2024, JSJK telah berjaya memperoleh sejumlah 13,184 pertuduhan.
Jelasnya lagi, JSJK turut melaksanakan 7,267 program pencegahan jenayah di seluruh negara, meliputi pameran, ceramah, kolaborasi media dan aktiviti “meet and greet” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah.
Sementara itu, enam jenayah penipuan dalam talian yang paling kerap dilaporkan setiap tahun ialah jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, jenayah e-dagang, “love scam”, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.
Tan Sri Razarudin turut menyatakan kelulusan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai 2024, yang dilihat mampu memperkasa usaha serta tindakan siasatan kes-kes jenayah komersil. Malah jelasnya, hukuman yang lebih tegas terhadap kesalahan penggunaan akaun keldai juga diyakini akan membantu mengurangkan perlakuan jenayah komersil.
Perhimpunan tadi turut menyaksikan Tan Sri Razarudin dengan diiringi Timbalan KPN, DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah JSJK selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berbesar hati menyampaikan Surat Penghargaan Khas KPN kepada dua pegawai polis daripada Commercial Affairs Department,
Singapore Police Force iaitu Head Anti-Scam Investigation Branch II, Superintenden Ho Ban Hsiung dan Senior Investigation Officer, Anti-Scam Investigation Branch II, ASP Eric Low atas komitmen serta kerjasama mereka dalam membantu PDRM, khususnya menangani jenayah rentas sempadan melibatkan jenayah penipuan dalam talian.
Turut berlangsung penyampaian Surat Penghargaan KPN kepada 47 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan peringkat Bukit Aman sebagai menghargai perkhidmatan cemerlang yang telah mereka pamerkan.
Hadir sama, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM serta warga kerja Bukit Aman.