Menu

TIMBALAN KPN SEMPURNAKAN MAJLIS PENGIKTIRAFAN TOLAK RASUAH SEMPENA SAMBUTAN BULAN INTEGRITI PERINGKAT POLIS DIRAJA MALAYSIA TAHUN 2024

Kuala Lumpur, 20 November 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah sempena Sambutan Bulan Integriti peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini.

Kehadiran beliau sekitar jam 2.30 petang telah disambut Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, DCP Thaipul Bahri Mokhtar yang mewakili Pengarah JIPS, CP Dato’ Sri Azri Ahmad.

Tema sambutan tahun ini iaitu “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi” merupakan manifestasi Kerajaan dalam usaha membudayakan tata kelola berintegriti di semua sektor awam termasuk PDRM.

Dalam majlis anjuran JIPS yang berlangsung lebih satu jam itu, hadirin turut diperdengarkan perkongsian ilmiah bertajuk “Kebersamaan Memerangi Rasuah” yang disampaikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato’ Mohd Zaidi Ramli.

Berucap dalam majlis tadi, Dato’ Sri Ayob Khan menyatakan bahawa Kerajaan MADANI dalam agenda memerangi rasuah amat jelas apabila Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional digubal sebagai kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional.

“Suka saya tegaskan di sini bahawa PDRM mendukung penuh dasar dan polisi Kerajaan dalam usaha meningkatkan amalan integriti dan tata kelola baik dalam kalangan warga Sang Saka Biru bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat”.

Tambahnya, fokus KPN merupakan peneguhan semula pendirian setiap generasi kepimpinan tertinggi pasukan.

"Seluruh warga PDRM harus gigih berpegang kepada keteguhan integriti dengan prinsip ‘zero tolerance’ terhadap pelaku rasuah dan salah guna kuasa. Ia bukan sahaja mampu memperkukuhkan kredibiliti pasukan malah menjamin kedaulatan pertiwi tercinta,” katanya.

Dato’ Sri Ayob Khan turut berbesar hati menyampaikan Surat Penghargaan Tolak Rasuah kepada 50 pegawai kanan serta pegawai rendah polis dan sembilan daripadanya merupakan penerima Sijil Penghargaan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai menghargai tindakan mereka melaporkan pemberian serta penerimaan rasuah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Tuan Hj. Rahman Mohd Din, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Seri Khaw Kok Chin dan barisan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman serta pengamal media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS