Kuala Lumpur, 10 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain malam tadi menghadiri Majlis Apresiasi Op Global 2024 di
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini.
Ketibaan beliau kira-kira jam 9.00 malam itu telah disambut oleh Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan isteri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis JSJ, Datin Sri Ennie Salina
Roseli.
Turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi Pasukan sahabat yang terlibat.
Dalam Op Global yang dilancarkan bermula dari bulan September lalu, sebanyak 99 kertas siasatan berjaya dituduh dengan 416 suspek telah berjaya diheret ke muka pengadilan berlunaskan undang-undang yang termaktub dalam negara.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin menyatakan bahawa operasi bersepadu menjadi bukti kerjasama strategik dan kolaborasi utuh antara PDRM dengan pasukan sahabat dalam memastikan kes yang disiasat berjaya dibuktikan sekali gus menyumbang kepada ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Benarlah pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Melalui pakatan, sokongan dan tindakan komprehensif semua pihak yang terlibat, ia telah membuahkan hasil dalam menoktahkan penyelewengan yang berlaku, baik dari aspek keselamatan, mahupun aspek kemanusiaan, akidah dan sebagainya,” ujar beliau.
Terdahulu, majlis yang bermula sekitar jam 6.30 petang tadi telah dimulakan dengan bacaan yasin dan solat hajat serta doa selamat yang diketuai oleh Imam I Masjid Sallehin PULAPOL Kuala Lumpur, Ustaz Muhammad Arif Mohd Rajoli.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia,Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Cawangan Operasi Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri, ACP Skandaguru Anandan dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid






































































