Kuala Lumpur, 11 Disember 2024 - Seramai lima pegawai dan anggota dari
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima Surat Penghargaan daripada Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Mereka terdiri daripada ASP Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.
Kesemua mereka menerima surat penghargaan tersebut selepas menolak wang sogokan berjumlah RM50,000 daripada seorang ejen sindiket penyeludupan migran semasa menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 9 Disember lalu.
Wang tersebut dipercayai sebagai imbuhan kepada pihak polis agar tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terlibat.
Dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Briged Tenggara bersama
Batalion 9 PGA itu, seramai 16 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar serta tiga tekong berjaya ditahan.
Tan Sri Razarudin semasa perjumpaan tadi merakamkan jutaan tahniah kepada semua pegawai dan anggota tersebut kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
"Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) seharusnya menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan) yang lain agar tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik Polis Diraja Malaysia, seterusnya masa depan kita," ujar beliau.
Penghargaan itu juga jelas membuktikan bahawa pucuk pimpinan Pasukan sentiasa mengambil peduli atas tindakan pegawai dan anggota polis yang berintegriti serta bersemangat waja dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima Surat Penghargaan KPN dan semoga dengan penghargaan tersebut akan menyuntik lagi semangat kalian untuk terus menabur khidmat dengan penuh iltizam dalam usaha membendung aktiviti jenayah di negara ini.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.