Port Dickson, 12 Disember 2024 - Warga Pasukan khasnya Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini akan menikmati kemudahan penginapan yang lebih moden, kondusif dan selesa di Mes Pegawai Kanan Greysands apabila kolam renang baharu dibuka secara rasmi, hari ini.
Kolam renang baharu yang dijenamakan sebagai ikonik “Kubang Rimau” itu diambil sebagai simbolik kepada warga Pasukan yang menggunakan logo
harimau pada uniform biru kebanggaan Sang Saka Biru untuk memenuhi keperluan riadah mereka sewaktu berkunjung ke mes tersebut.
Pembinaannya mula dilaksanakan pada bulan Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Januari 2024 dengan kapasiti keluasan sepanjang 20 meter dan 12 meter lebar. Kolam tersebut juga mempunyai kedalaman yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan semua peringkat umur dari kanak-kanak sehinggalah dewasa.
Majlis Perasmian Kubang Rimau Greysands Port Dickson, di sini tadi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah
Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari yang mewakili Ketua Polis Negara dengan diringi oleh DCP Pentadbiran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman selaku Naib Yang Dipertua Mes PDRM, DCP Dato’ Fadzil Ahmat.
Berucap dalam majlis tadi, Dato’ Mohd Roze berharap Mes Greysands PDRM yang dilengkapi dengan kemudahan terbaharu itu mampu memberikan perkhidmatan yang lebih terbaik kepada warga Pasukan yang menginap di situ di samping dapat menjana sumber kewangan kepada tabung Mes PDRM.
“Kolam renang ini bukan sahaja dapat menampung keperluan sebagai tempat penginapan yang kondusif, bahkan mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan Tabung Mes Pegawai Kanan PDRM.
“Saya yakin, seiring dengan komitmen PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganya, kemudahan ini pasti akan dimanfaatkan sebaiknya,” ujar beliau.
Seusai perasmian kolam renang baharu, Dato’ Mohd Roze turut dibawa meninjau ke bilik penginapan contoh yang telah diubah suai untuk memberi keselesaan kepada warga PDRM yang menginap di sana.
Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah PDRM bersama isteri, Ketua
Polis Negeri Sembilan, DCP Dato' Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Kontinjen Negeri Sembilan, DSP Datin Erny Yusnida Che Yusoff, barisan Ahli Jawatankuasa Mes PDRM dan barisan pegawai kanan polis.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini