Menu

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2025 KETUA POLIS NEGARA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Dirafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan berkat izin-Nya jua, kita diberi kesempatan untuk melangkah ke tahun baharu 2025 dengan suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.

Dalam sekelip mata, tahun 2024 telah melabuhkan tirai dengan meninggalkan pelbagai cabaran, dugaan serta pengalaman suka dan duka buat warga Sang Saka Biru. Keupayaan dan kecekapan Pasukan telah diuji semasa mengendalikan kes-kes berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, baik dari aspek sumber manusia, kelengkapan logistik, tata kelola, teknologi dan sebagainya.

Tahun 2024 mencatatkan kejayaan gemilang buat PDRM hasil usaha gigih dari setiap Jabatan dalam menjalankan fungsi masing-masing selaras Seksyen 3(3) Akta Polis 1967. Ia secara tidak langsung telah menyumbang kepada pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa, seperti Indeks Keamanan Global (GPI) 2024, apabila Malaysia berada di tempat ke-10 daripada 163 buah negara. Pencapaian ini sekali gus memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi yang memberangsangkan, hasil keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Sehubungan itu, sekalung penghargaan kepada seluruh warga Sang Saka Biru atas komitmen, sumbangan, pengorbanan dan semangat yang tinggi, menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif dalam menghadapi ancaman keselamatan dan ketidaktentuan global yang semakin kompleks.

Tidak dilupakan juga penglibatan semua pihak di peringkat antarabangsa, kementerian, jabatan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO serta segenap lapisan masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keupayaan benteng keselamatan demi kesejahteraan rakyat. Moga jalinan kolaborasi ini dapat diperkukuhkan lagi bagi memenuhi ekspektasi Kerajaan dan masyarakat yang menuntut perkhidmatan telus serta berimpak tinggi.

Peredaran masa menjadikan PDRM semakin matang dan ampuh mendepani pelbagai ancaman jenayah yang berevolusi dengan perkembangan teknologi dan lanskap keselamatan serantau yang tidak menentu. Namun, disebabkan pengalaman, peningkatan keupayaan serta semangat taat setia warga Sang Saka Biru kepada Raja dan Negara menyebabkan PDRM berjaya menangani pelbagai cabaran yang mendatang.

Keprihatinan Kerajaan kepada PDRM telah dizahirkan melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan motivasi warga Pasukan antaranya menaik taraf kediaman dan premis PDRM, memperkukuhkan keperluan sumber manusia dan kelengkapan logistik, memperkasakan keselamatan sempadan serta kenaikan gaji penjawat awam. Usaha-usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan ekosistem yang sejahtera, disokong oleh warga kerja yang berdaya cipta, saling menghormati dan ihsan demi kemampanan Sang Saka Biru.

Untuk itu, saya bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM menyeru seluruh warga Pasukan untuk menterjemahkan rasa kesyukuran menerusi iktikad dan kebersamaan dalam setiap inisiatif serta tanggungjawab yang diamanahkan demi negara. Tambahan pula, pada 1 Januari 2025, secara rasminya Malaysia mengambil alih teraju Kepengerusian ASEAN, yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi program-program bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, warga PDRM harus sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin. Jangan mudah berlapang dada dengan keamanan dan kedamaian yang dikecapi kini, sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan, malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden.

Justeru, saya menyeru seluruh warga Sang Saka Biru untuk memperkukuhkan personaliti sebagai penguat kuasa yang berintegriti tinggi, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi ketetapan peraturan, bersederhana dalam kehidupan dan istiqamah dalam berbuat kebaikan, bersabar dengan segala cemuhan serta yakin dengan inayah-Nya.

Saya serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM sentiasa mendoakan agar seluruh keluarga besar Sang Saka Biru dirahmati Allah SWT atas perjuangan bagi memartabatkan keselamatan dan keamanan negara serta beroleh ganjaran tertinggi dari Yang Maha Esa.

Semoga negara berdaulat ini sentiasa aman, makmur dan sejahtera.
Amin Ya Rabbal Alamin.
(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS