Putrajaya, 21 Januari 2025 - Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) sekali lagi melakar sejarah menjadi sebuah platform inovasi bidang keselamatan global apabila mengadakan majlis hi-tea petang bersama pemain industri keselamatan antarabangsa pada hari kedua penganjurannya.
“AISSE’25 Industry Hi-Tea Networking” Polis Diraja Malaysia yang berlangsung dekat Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya tadi bukan sahaja bertujuan meraikan ketua-ketua delegasi keselamatan dari seluruh dunia yang hadir, malah menyediakan peluang bagi pucuk pimpinan Pasukan membina jalinan rangkaian kerjasama padu di antara Malaysia dengan negara luar.
Majlis tadi dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara rantau ASEAN, tokoh keselamatan terkemuka negara India, Jepun selain pemain industri keselamatan dunia dan wakil-wakil daripada kedutaan serta pesuruhjaya tinggi negara asing ke Malaysia.
Ucapan penghargaan daripada KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain menjadi perhatian apabila beliau menyatakan kesungguhan Malaysia selaku tuan rumah dapat menyerlahkan perpaduan di kalangan negara yang menyertai AISSE’25 untuk mengukuhkan lagi keupayaan kerjasama keselamatan demi menyumbang kepada komuniti dunia yang lebih aman dan selamat.
Tambah beliau, menerusi AISSE’25 dapat menjadi platform erat untuk Malaysia dan negara komuniti antarabangsa lain kekal teguh memberi komitmen untuk menangani sebarang ancaman jenayah global dengan lebih strategik serta komprehensif.
Dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua delegasi antarabangsa yang hadir dengan harapan hubungan persahabatan dan kerjasama erat sedia ada dalam membanteras jenayah di peringkat global dapat direalisasikan bersama.
Terdahulu, sebelum berlangsungnya majlis hi-tea tadi, Tan Sri Razarudin sempat meluangkan masa melawat reruang pameran Syarikat AEROTREE Group yang terkemuka dalam industri pertahanan penerbangan.
Syarikat tempatan itu turut menyediakan latihan penerbangan bertaraf dunia di samping menjalankan kursus teknikal berkaitan penyelenggaraan pesawat.
Dalam lawatan ringkas tadi, Tan Sri Razarudin telah diberi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat AEROTREE Group, Dato’ Halim Othman.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid