Menu

LAGI 'WIRA TOLAK RASUAH' PDRM DIRAIKAN, TERIMA SURAT PENGHARGAAN DARIPADA KPN

Kuala Lumpur, 31 Januari 2025 - Penutup bulan Januari 2025 sekali lagi menyaksikan pejabat rasmi Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain yang terletak di tingkat 31 Bukit Aman di sini menerima kunjungan 10 tetamu istimewa daripada Kontinjen Johor yang diundang khas untuk bertemu figura nombor satu dalam Pasukan.

Mereka terdiri daripada Inspektor Rosli Mohd Saad, Koperal Mohammad Hafizi Idris, Lans Koperal Shafrizal Jasi, Lans Koperal Mohd Saiden Abdul Lemin dan Lans Koperal Muhammad Syahir Safwan Abdul Jamil daripada Markas Taktikal, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Mersing.

Lima anggota lain iaitu Sarjan Roshazizat Hj. Idris, Koperal Azhar Omar, Koperal Muhammad Muizzuddin Roslan, Lans Koperal Mohd Safuan Kaderi dan Lans Koperal Muhammad Faiz Abdul Kadir daripada Unit Rondaan Bermotosikal, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Kesemua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut diundang khas oleh Tan Sri Razarudin sendiri ke pejabat beliau pagi tadi untuk diraikan dalam satu majlis penghargaa kerana menolak rasuah sewaktu menjalankan amanah melindungi rakyat serta negara pada pertengahan bulan Januari lalu.

Kisah Inspektor Rosli bersama anggotanya yang disogok sejumlah wang ketika melakukan tangkapan dan rampasan pelbagai jenis mercun serta bunga api dalam Op Taring Landai Khas sempena Cuti Sekolah dan Tahun Baru Cina di Johor pada 21 Januari lalu mendapat liputan media massa sehinggakan kisah tauladan mereka menjadi sumber inspirasi warga Pasukan lainnya.

Manakala bagi Sarjan Roshazizat bersama empat rakan setugas lain juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya menolak wang sogokan setelah ditawarkan oleh suspek yang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah di dalam daerah Segamat, Johor pada 24 Januari lalu sehinggakan mendapat perhatian daripada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Johor, Dato' Hj. Azmi Hj. Alias sendiri.

Dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin meluangkan masa hampir satu jam menyantuni wira-wira PDRM tersebut di pejabat beliau, disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan khas KPN serta cendera kenangan.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Komander PPM, SAC Shamsol Kassim dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah.
Semoga dengan pemberian surat penghargaan tersebut akan menjadi motivasi dan pendorong semangat untuk seluruh warga Pasukan agar terus mempamerkan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.

May be an image of 13 people, ambulance and text

May be an image of 1 person and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 5 people, the Oval Office and text

May be an image of 4 people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS