Kuala Lumpur, 11 Februari 2025 – Jenazah ASP Unit Portal dan Media Sosial, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Komunikasi Korporat), Allahyarham ASP Abdul Rahim Othman Siru selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, tengahari tadi.
Hadir sama di tanah perkuburan tadi ialah Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Julina Sallehuddin, Ketua Polis Daerah
(KPD)
Dang Wangiangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, Superintenden Komunikasi Korporat, Superintenden Abd Rashid Abu Bakar, Timbalan KPD
Brickfields, Superintenden Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal, para pegawai dan anggota polis, ahli keluarga serta sahabat handai.
Allahyarham Abdul Rahim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur malam tadi akibat pecah pada saluran darah di pangkal otak. Jenazah terlebih dahulu dibawa ke
Masjid Bukit Aman untuk dimandi dan disolatkan pagi tadi sebelum dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Baru untuk penghormatan terakhir.
Terdahulu, turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil di Masjid Bukit Aman yang dihadiri Ketua
Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa dan Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah.
Allahyarham memulakan karier dalam bidang kepolisan pada tahun 2011 sebagai pegawai penyiasat di
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Selangor pada tahun 2012. Beliau kemudiannya bertukar ke Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada tahun 2015 sebagai Inspektor Portal (Teknikal), Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) sebelum menjawat jawatan sebagai ASP Unit Portal dan Media Sosial pada tahun 2018 hingga kini.
Pemergian Allahyarham Abdul Rahim merupakan satu kehilangan besar buat Pasukan khususnya Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) atas komitmen tinggi yang sentiasa beliau pamerkan sepanjang perkhidmatan.
Semasa hayatnya, Allahyarham merupakan seorang pegawai kanan yang komited terhadap tugas dan bijak merancang serta mengatur segala urusan melibatkan liputan pimpinan tertinggi Pasukan. Beliau juga sangat menjaga kebajikan para pegawai, anggota dan pegawai awam di bawah seliaannya dengan sentiasa cakna serta mengambil berat mengenai mereka dan ahli keluarga.
Al-Fatihah buat Allahyarham ASP Abdul Rahim dan salam takziah jua buat keluarga tercinta. Semoga Allah SWT merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Mewakili ahli keluarga Allahyarham dan warga Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) menjemput ahli kariah serta penduduk berhampiran untuk bersama-sama mengimarahkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil buat Allahyarham Abdul Rahim yang akan diadakan selepas solat fardhu Maghrib di Masjid Bukit Aman selama tiga hari berturut-turut bermula malam ini.