Menu

OP SELAMAT 24: POLIS KONTINJEN KUALA LUMPUR DAN IPD TENOM CATAT PRESTASI CEMERLANG

Kuala Lumpur, 12 April 2025 - Prestasi cemerlang, komitmen tinggi pegawai dan anggota polis bertugas serta trend penurunan kes kemalangan berbanding tahun sebelumnya telah menjadikan Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom diangkat sebagai juara dalam kempen Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri pada kali ini.

Manakala Polis Kontinjen Perak dan Selangor pula masing-masing mencatat sejarah sendiri apabila diumumkan sebagai terbaik bagi kategori penguatkuasaan trafik, saman dan kadar kemalangan terendah di seluruh negara.

Pengumuman juara dan keseluruhan terbaik kategori kontinjen dan daerah dibuat dalam Majlis Apresiasi Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 yang berlangsung dekat Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL), di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis apresiasi tadi ialah Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dengan diiringi oleh Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri bersama Pengerusi Kumpulan Telekom Malaysia, Datuk Zainal Abidin Putih selaku rakan kolaborasi strategik utama yang menjadi penaja perdana bagi kempen edisi kali ini.

Berucap dalam majlis tadi, Dato' Sri Ayob Khan memaklumkan jumlah penurunan trend kes-kes kemalangan jalan raya di seluruh negara, menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap peraturan serta undang-undang lalu lintas.

"Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bermula pada 29 Mac 2025 sehingga 3 April 2025 telah merekodkan kemalangan jalan raya berjumlah 9,859 kes, mencatat peningkatan sejumlah 408 kes bersamaan empat peratus, berbanding 9,451 kes semasa Op Selamat 22 pada tahun lalu.”

Namun begitu, jumlah kemalangan maut mencatat penurunan 41 peratus, dengan 77 kes kemalangan maut, berkurangan 54 kes berbanding tahun sebelumnya merekodkan sejumlah 131 kes.

“Alhamdulillah, turut berkurangan adalah jumlah kematian akibat kemalangan. OP Selamat 24 merekodkan 85 kematian, penurunan 59 kematian bersamaan 41 peratus berbanding 144 kematian pada tahun lalu.” ujarnya.

Tambah beliau, penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai penyumbang tertinggi angka korban dalam Op Selamat edisi kali ini.

Sejumlah 52 kematian penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan, berbanding 93 kematian pada tahun lalu, pengurangan 41 kematian bersamaan 44 peratus.

Turut diadakan majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada semua Pesuruhjaya dan Ketua Polis negeri serta rakan-rakan strategik yang menjayakan Op Selamat 24 pada tahun ini yang disampaikan oleh Dato’ Sri Ayob Khan disusuli dengan tayangan montaj.

Hadir sama dalam majlis yang diadakan ialah barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Komandan PULAPOL KL, DCP Alzafny Ahmad, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta rakan-rakan media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

May be an image of 14 people

May be an image of 6 people and text

May be an image of 8 people and text

May be an image of 10 people and text

May be an image of 7 people, dais and text that says '人 RM'


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS