Kuala Lumpur, 21 April 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dan barisan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraikan kemeriahan Syawal bersama warganya dan orang awam dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Tahun 2025, bertempat di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, tengah hari tadi.
Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama Tan Sri Razarudin telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada 80 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, anak-anak yatim, autisme dan balu warga PDRM.
Tan Sri Razarudin bersama barisan Pengarah PDRM kemudiannya mengambil peluang melawati reruai setiap jabatan yang dihias ceria, dengan hidangan juadah raya, dan turut menyantuni para tetamu yang hadir.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman, barisan Pesuruhjaya dan Ketua Polis Negeri, ketua-ketua agensi di bawah KDN dan rakan media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Bryanlie Mustin, Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.