Kuala Lumpur, 22 April 2025 - Tiga dusun durian seluas 363.02 hektar, hotel, syarikat pemaju dan kilang pemprosesan kelapa sawit dianggarkan bernilai RM3.5 bilion antara aset baru dibeku dan disita kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi di sebuah negara jiran dinamakan pelaburan MBI International Group (MBI).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut menahan lima lelaki termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim pelaburan MBI itu.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, CP Dato' Muhammed Hasbullah Ali, berkata tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Northern Star (Op Northern Star) yang dilaksanakan pada 18 hingga 21 lalu di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.
Beliau berkata, siasatan mendapati Tan Sri dan Datuk Seri terbabit adalah proksi dan rakan kongsi kepada sindiket ini.
Katanya, dusun durian itu mempunyai geran sah, namun menggunakan wang haram untuk pelaburan dan siasatan masih diteruskan dengan beberapa siri operasi lain akan diadakan, selain tidak menolak ada tangkapan baharu selepas ini.
"Semua lelaki yang ditahan berusia 35 hingga 67 tahun itu kini direman lima hingga enam hari bagi membantu siasatan.
"Tindakan pembekuan dan penyitaan sudah dilaksanakan terhadap harta dan aset membabitkan dusun durian dianggarkan bernilai RM223,624,167.75 di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang berkeluasan 344 hektar; di Jawi, Pulau Pinang berkeluasan 5.26 hektar dan di Tasek, Kedah berkeluasan 13.76 hektar," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Bacaan lanjut menerusi pautan seperti berikut,