Kuala Lumpur, 24 April 2025 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) yang turut melibatkan dua pegawai polis.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata dua pegawai berkenaan yang berpangkat Superintendan dan Inspektor kini ditahan reman selama tujuh hari bermula pada hari ini.
Tan Sri Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga telah menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i pada tahun lepas dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
"Apa-apa kesalahan membabitkan rasuah yang kita (PDRM) temukan dalam siasatan, kita akan bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam kes ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.