Sungai Buloh, 29 April 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini meluangkan masa menziarahi pesara polis yang juga bekas Ketua
Polis Melaka, DCP Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali di kediamannya di Eco Grandeur, Puncak Alam.
Turut hadir, isteri beliau merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman. Pasangan itu tiba sekitar jam 2.30 petang dan disambut mesra oleh keluarga Datuk Wira Abdul Majid.
Dalam lawatan tersebut, Tan Sri Razarudin menzahirkan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada Datuk Wira Abdul Majid serta isterinya, Datin Wira Nornisah Kamis.
Datuk Wira Abdul Majid, 63, menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima dan kegagalan fungsi buah pinggang. Beliau telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 15 April lalu di
Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, dengan isterinya sendiri sebagai penderma organ.
Sepanjang perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah
Pengurusan (Pentadbiran), SAC Pentadbiran Jabatan Pengurusan dan Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman.
Seluruh warga pasukan mendoakan agar Datuk Wira Abdul Majid dikurniakan kesembuhan yang sempurna dan sentiasa berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT. Semoga segala urusan beliau dan keluarga dipermudahkan. Insya-Allah.