Kuala Lumpur, 6 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini meraikan seramai 66 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.
Tan Sri Razarudin tiba pada jam 10.30 pagi dan disambut oleh Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, bersama Pengarah
Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid.
Majlis dimulakan dengan penyerahan Buku Keputusan APC 2024 oleh Tan Sri Razarudin kepada barisan Pengarah, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis negeri dan Komander yang mewakili penerima dari jabatan, kontinjen, institusi latihan dan briged.
Dalam ucapannya, Tan Sri Razarudin menyatakan keyakinan bahawa melalui kriteria pemilihan yang ditetapkan, warga pasukan akan terus berusaha secara proaktif dan berdaya saing, demi memberikan perkhidmatan berkualiti sejajar dengan harapan negara dan masyarakat.
“Bagi pegawai polis, APC bukan sahaja diambil kira dalam proses kemajuan kerjaya dan pemberian Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Persekutuan atau Negeri, bahkan turut mempengaruhi peluang untuk menyertai kursus dalam serta luar negara,” tambah beliau.
Setiap penerima APC turut menerima Sijil Simpanan Pendidikan Nasional bernilai RM1,000 daripada PTPTN sebagai galakan menabung untuk pendidikan. PTPTN turut menyumbang RM10,000 bagi cabutan bertuah sepanjang majlis berlangsung.
Sebelum majlis berakhir, Tuan Ahmad Dasuki menyerahkan "mock cheque" SAHABAT PTPTN berjumlah RM67,909 kepada Tan Sri Razarudin untuk disalurkan ke Tabung Kebajikan PDRM dan insentif SAHABAT APC 2024.
Bagi keseluruhan tahun 2024, seramai 10,534 warga PDRM telah diperakui sebagai penerima APC, merangkumi 1,086 Pegawai Kanan Polis, 8,486 Pegawai Rendah Polis dan 962 Pegawai Awam dari Bukit Aman, kontinjen, briged serta institusi latihan.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi