Kemalangan melibatkan seekor anak gajah dengan sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam masih terkesan dalam hati setiap rakyat Malaysia.
Lebih menyedihkan apabila si ibu langsung tidak berganjak dari tempat kejadian dengan harapan anaknya kembali hidup.
Kejadian seperti itu mungkin dapat dielakkan jika pengguna jalan raya memberi lebih perhatian apabila melalui jalan yang merupakan kawasan habitat spesis mamalia darat terbesar itu.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya Malaysia melalui Jabatan Kerja Raya negeri dan daerah telah memasang lampu jalan di 39 lokasi laluan atau lintasan gajah liar.
Turut dipasang tanda jalan bagi memberi amaran kepada pemandu kenderaan agar mengurangkan kelajuan supaya tidak melanggar, mencedera atau membunuh gajah tersebut.
Ingatlah, anda melalui kawasan 'rumah' mereka. Hormati alam sekitar dan bersama kita bantu melindungi spesies terancam itu.