Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meraikan 30 petugas media dalam sebuah majlis apresiasi yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Surat Penghargaan Khas kepada wakil-wakil media cetak dan elektronik yang telah banyak menyokong serta menzahirkan peranan PDRM dalam pelaporan mereka.
Terdahulu, ketibaan Tan Sri Razarudin telah disambut oleh Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri sebelum dibawa ke dewan acara.
Berucap dalam majlis itu, Tan Sri Razarudin menekankan bahawa hubungan erat antara PDRM dengan media adalah berteraskan tanggungjawab bersama dalam menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan berintegriti kepada masyarakat.
“Platform media mempunyai kuasa unik yang mampu melangkaui batas fizikal, mempengaruhi pemikiran serta memenangi hati masyarakat untuk memperkukuh keselamatan dan keamanan negara,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar PDRM terus mengambil pendekatan terbuka bersama pengamal media selaras dengan tema, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
Mendahului senarai penerima Surat Penghargaan Khas KPN tadi ialah Pengarah Urusan Metronews Kuala Lumpur, Datin Sarinah Salleh diikuti Editor TV3, Encik Ing Boon Seng serta Wartawan Jenayah Tamil Malar, Encik Gopikrishna Rajagopal.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, CP Normah Ishak, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullan dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang, Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi dan Cik Nurul Qistina Zafri.



